Wednesday, October 27, 2010

Langkah berjaga-jaga elak jangkitan Superbug

Berita Harian
Rabu, 27/10/2010

Langkah berjaga-jaga elak jangkitan Superbug
GUA MUSANG: Malaysia mencatatkan kes pertama jangkitan bakteria dikenali sebagai Superbug, membabitkan seorang wanita yang tersilap mengambil dos ubatan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata wanita berusia 24 tahun yang dikesan mendapat jangkitan bakteria itu pada bulan lalu kini sudah pulih selepas mendapat rawatan. Bagaimanapun, katanya, wanita berkenaan masih perlu menjalani rawatan susulan walaupun sudah dibenarkan pulang ke rumah. "Dia dikesan mendapatkan jangkitan Superbug itu pada bulan lalu dan kini masih perlu mendapatkan rawatan dari semasa ke semasa bagi memastikannya bebas sepenuhnya.

"Saya nak jelaskan bahawa Superbug adalah kuman, bukannya virus. Biasanya Superbug berlaku kepada orang yang lemah tahap daya tahan badan.

"Ia juga boleh berjangkit melalui sentuhan pada luka dialami orang yang mempunyai jangkitan kuman terbabit," katanya di sini, semalam.

Liow berkata, sejak Superbug dikesan mulai 2008 di negara seperti India, Pakistan dan United Kingdom, Kementerian Kesihatan segera melaksanakan langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan jangkitan bakteria itu merebak di negara ini.

Beliau berkata, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) juga sudah diarah menjalankan ujian bagi mengenal pasti serta mengesahkan kewujudan bakteria membawa gen NDM-1 di negara ini.

"Saya sudah arahkan semua hospital di seluruh negara untuk menghantar sampel bakteria yang menunjukkan corak kerintangan tinggi terhadap kebanyakan antibiotik diuji kepada IMR untuk ujian lanjut.

"Setakat ini, IMR menyaring 18 isolat bakteria menunjukkan corak kerintangan yang tinggi dan didapati hanya satu isolat positif terhadap gen NDM-1," katanya.

No comments:

Post a Comment